-
- Cinta adalah perbuatan. Anda tidak boleh berkata cinta tanpa membuktikan apa yang anda kata. Anda perlu buktikan pada orang yang anda cinta bahawa anda cinta pada dia. Komitmen yang tulus perlu ada pada cinta, bukan hanya sekadar manis di mulut sahaja, tetapi perlu dilakukan dengan bersungguh tanpa pernah kenal jemu. Bila anda merasai cinta melalui hati, komitmen anda untuk hidup bersama akan menjadi pegangan anda.
-
Cinta lebih dari satu perasaan kerana cinta boleh menyebabkan anda gembira, sedih, tertekan dan alami bermacam – macam perasaan lagi. Cinta juga berubah mengikut ‘mood’. Biasanya, keadaan ini berlaku apabila anda dan teman anda mula rasa kekosongan pada cinta itu sendiri. Ada antaranya mula berasa bosan kerana telah mengetahui apa ada pada pasangan anda, baik dari segi kekurangan atau kelebihan. Di sini juga cinta diuji dari segi mentaliti kerana cinta berdasarkan ‘mood’ tidak akan berakhir dengan kebahagiaan. Namun ia merupakan perkara normal, dan oleh itu anda perlu mengawal situasi ini dengan meletakkan keadaan ‘mood’ itu pada keadaan sementara sahaja. Apa yang anda perlu lakukan adalah mengisi kekosongan itu dengan perkara yang baru mengikuti kreativiti. Rahsia mereka yang berjaya dalam alam percintaan hingga terbinannya rumah tangga yang kekal lama adalah menyesuaikan keadaan ‘mood’ itu sendiri. Keadaan ini juga membuatkan anda berasa bimbang dan menganggap atau syak pasangan anda mula berubah hati. Sedarlah manusia sentiasa berubah, oleh itu tanggani ‘mood’ anda dan pasangan anda bagi usaha mengekalkan hubungan cinta.
-
Cinta tidak akan mengecewakan orang yang terus mencintai. Kadangkala tidak semua perkara akan berjalan dengan lancar dalam hubungan tetapi anda tidak akan kecewa jika anda terus mencintai walaupun dia bukan lagi milik anda. Melihat dia bahagia di samping anda sendiri mencari kebahagiaan adalah cinta yang hebat. Hal ini juga berkait dengan jodoh ketentuannya. Oleh kerana itu, kita sering diingatkan cinta yang tulus adalah memastikan orang yang kita sayang sentiasa bahagia walau apa pun keputusan yang akan diterima. Cinta dalam erti kata lain memahami dan melakukan yang terbaik untuk orang yang kita cintai itu beroleh kebahagiaan. Adakah anda hanya menganggap cinta itu hanya pada kekasih? Berusahalah untuk mencintai keluarga dan ibu bapa anda, dan yang lebih penting diri anda. Sekiranya anda gagal mencintai diri anda sendiri, bagaimana anda boleh mencintai orang lain? Tanya diri anda sendiri…
Kenali Status Cinta anda.
-
Cinta yang sejati adalah misteri tetapi ada jalan untuk mencapainya. Cinta sejati bermula dari dalam hati dan ia seperti kuasa ghaib yang akan membawa anda masuk ke alam lain. Perasaan ini membuatkan anda tidak keruan dan anda mula dilamun sesuatu perasaan yang aneh, yang di namakan lamunan cinta. Lamuan cinta berada dalam pelbagai situasi. Reaksi anda akan berubah dan semangat membuak-buak akan mengalir ke luar dari diri anda. Anda hanya memikirannya situasi itu, dan mula melakukan terbaik demi cinta itu tanpa banyak berfikir pada perkara yang lain. Tanpa kawalan pada otak sedar, cinta boleh membuatkan anda berubah dengan tiba-tiba baik dari segi kehidupan atau sifat anda. Pernahkan anda mengalami perasaan cinta? Adakah anda menganggap cinta itu hanya wujud pada pasangan kekasih? Bagaimana pula perasaan cinta pada negara? Kenapa seseorang yang mencintai negaranya sanggup berjuang dan bertaruh nyawa? Itulah bukti kuasa cinta yang sukar diungkapkan dan amat misteri.
-
Cinta adalah suci dan jauh dari dosa. Perasaan cinta akan membuatkan anda sentiasa ingin melakukan kebaikan. Cinta yang membawa keburukan adalah di sebabkan perasaan dendam dan dengki. Cinta yang berdasarkan nafsu adalah sementara. Cinta yang berdasarkan keimanan adalah sangat indah. Yang manakah anda pilih? Tepuk dada, tanya selera.
-
Cinta tidak pernah terjadi untuk mencintai rupa paras. Sebaliknya cinta hanya akan muncul apabila anda mencintai hatinya. Bagaimanakah rasanya memperolehi cinta pada hati? Tanya pada diri anda, adakah anda mencintai ibu anda pada paras rupanya yang semakin hari di mamah usia? Adakah kerana sesuatu pada hatinya yang tiada pada orang lain yang dapat diberikan pada anda selain dia? Jika anda mempunyai perasaan itu pada pasangan hidup anda, itu adalah cinta sebenar, sungguh indah bukan?
- Cinta adalah berkorban, memberi dan mengasihi. Malahan haiwan itu sendiri mempunyai perasaan cinta. Sebagai contoh, si ibu kucing sanggup berkorban mempertahankan anak-anaknya dari musuh yang mengancam. Sedangkan kucing itu sendiri mempunyai perasaan cinta, ini kan pula manusia. Tuhan ciptakan cinta itu teramat bernilai kepada manusia, begitu juga makhluk ciptannya yang lain. Fahamilah cinta yang sebenar adalah suatu kuasa yang luas dan dapat merubah keadaan diri anda. Begitulah besarnya erti cinta.
-
Cinta tidak boleh di buat – buat kerana ia terjadi dengan sendirinya. Bila anda melihat menggunakan hati, cinta itu akan datang kepada anda. Ianya bermula dari perasaan samada kasihan, bangga, kagum, gembira, sedih dan pelbagai lagi. Adakah cinta datang dari paras rupa? Itu adalah silap sama sekali, kecantikan adalah tuntutan nafsu yang ada pada manusia. Sebagai contoh, cinta pandang pertama bukan semata-mata pada paras rupa tetapi arua yang ada pada sesorang itu hingga menusuk perasaan yang membuat anda jatuh cinta. Jelas di sini bahawa, cinta wujud dari perasaan manusia itu sendiri yang memberikan tindak balas. Oleh itu, cinta memang tidak boleh direka-reka kerana ia adalah perkara diluar kawalan kita.
-