Kuatnya sebatang pokok bergantung kepada akar tunjangnya. Jika akar
tunjangnya kuat, walaupun dipukul ribut taufan, pokok tidak mudah
tumbang. Demikianlah kekuatan fizikal manusia bergantung kepada hati.
Jika hati kita kuat, walaupun sehebat mana cabaran dan dugaan yang
dihadapi, kita tidak mudah rebah dan patah semangat.
Bahkan baik atau buruk perangai manusia itu bergantung kepada
hatinya. Sebagai mana hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud,
"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu
baik, maka baiklah seluruh anggota badannya, tetapi seandainya daging
itu rosak dan kotor, maka kotorlah seluruh anggota badannya. Daging yang
dimaksudkan itu ialah hati".
Sebab itulah jika kita hendak berubah atau tidak, daripada amalan
hidup negatif kepada positif, bergantung kepada hati. Kita tidak akan
nampak diri kita salah, jika hati kita masih belum terbuka atau 'buta
mata hati'. Kesedaran untuk membuat perubahan diri akan timbul apabila
hati kita bersih. Iaitu bersih daripada 10 penyakit hati dan jiwa yang
menyerlahkan perasaan negatif dalam diri kita.
Pertama, ujub. Iaitu perasaan kagum terhadap diri sendiri. Berasa
diri kita terlalu baik dan hebat berbanding orang lain. Ubatlah penyakit
hati ini dengan menjadi pemerhati kepada diri sendiri, dengan
bermuhasabah mencari kekurangan dalam usaha menambah ketakwaan.
Elakkan daripada menjadi pemerhati orang lain dengan tujuan untuk
menilai, menghukum dan membuat perbandingan antara amalan orang lain
dengan diri sendiri. Ikhlaskan diri dalam segala amalan kerana Allah,
dan jangan mengharapkan penghargaan manusia. Dunia dalaman kita
menentukan dunia luaran kita. Jangan malu kepada manusia, tetapi malulah
kepada Allah, serta hentikan sebut perkataan, "apa orang kata."
Kedua, perasaan sombong iaitu tinggi hati, angkuh, riak dan bongkak.
Berasa segala kejayaan kita adalah kerana kehebatan kita, hingga
melupakan kuasa Allah Yang Tinggi. Berani melakukan dosa dan
meninggalkan suruhan-Nya. Menurut Al-Bukhari, "orang yang jahat akan
melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan
santai dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangannya. Adapun orang
Mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan dia duduk di bawah kaki gunung yang
akan menghempapnya."
Menghargai
Ketiga, perasaan iri hati dan dengki. Iaitu tidak boleh melihat orang
lain lebih daripadanya, sentiasa hendak bersaing, tidak bersyukur dan
sentiasa tidak berpuas hati dengan apa yang kita telah ada, tetapi sibuk
mempersoalkan apa yang kita belum ada.
Orang yang menjaga kebersihan hatinya, setiap hari akan lihat apa
yang difokuskannya? Kesyukuran atau kesukaran? Apa yang kita fokuskan
akan menentukan kualiti hidup kita. Marilah menjaga hati kita daripada
penyakit dengki. Selalunya orang akan mengata atau mengumpat orang yang
mereka dengki.
Keempat, bersangka buruk. Orang yang bersih hatinya akan hidup dengan
penuh ikhlas dan memperbanyak kasih sayang kepada dirinya dan orang
lain. Membuang semua perasaan negatif dan tidak sekali-kali berfikir
negatif tentang sesiapa. Sibuk memperbaiki diri sendiri sehingga tidak
nampak keburukan orang lain.
Kelima, perasaan ego. Orang yang ego sebenarnya ada perasaan rendah
diri yang tersembunyi dalam dirinya. Oleh itu bina keyakinan diri dengan
mencari reda Allah SWT, supaya dapat menghilangkan rasa ego dan
sombong. Sibukkan diri menghargai, bukan mencari penghargaan. Manusia
yang paling tenang bebas daripada penghargaan manusia, hanya kasih Allah
yang dicari. Lebih baik kita dianggap bodoh tetapi benar, daripada
dianggap cerdik tetapi berbohong.
Keenam, perasaan marah. Orang yang hebat bukanlah orang yang dapat
membandingkan diri dengan kekuatan. Orang yang hebat ialah orang yang
mampu mengendalikan nafsu marahnya ketika marah.
Ketujuh, perasaan takut dan risau. Lebih takut dan risau kepada
peraturan manusia daripada hukum Allah. Risau dengan dunia ialah
kegelapan hati dan risau dengan akhirat ialah cahaya bagi hati. Banyak
orang yang tersalah jalan tetapi berasa tenang kerana banyak teman yang
sama-sama salah, dengan mengikut jalan yang sama. Beranilah untuk
menjadi benar walaupun kita bersendirian mengikut jalan yang lain.
Jangan mengharap dunia berubah sebelum kita berubah.
Kelapan, perasaan dendam. Dendam yang berpanjangan akan menjadi racun
yang menjejaskan secara perlahan-lahan kesihatan diri kita. Sabar, reda
dan maafkan semua kesalahan orang, itulah jalan keluar daripada
penyakit hati dendam. Sabar itu pahit tetapi buahnya manis.
Kesembilan, bakhil dan kikir. Salah satu kunci syurga ialah murah
hati dan baik budi. Sikap pemurah hati meluaskan rezeki, memanjangkan
silaturahim dan menghindarkan musibah.
Kesepuluh, terlalu mengikut perasaan. Segala tindakan tidak
berlandaskan fikiran. Dalam tubuh manusia ada sel aktivasi, otak yang
mempengaruhi emosi kita dan apa yang kita lihat. Apa yang kita lihat dan
dengar semua masuk pada mata kita. Sebenarnya apa yang kita lihat bukan
hanya dengan mata, tetapi kita melihat melalui mata dengan hati dan
otak.
Sebab itulah dalam Jurnal Senyumlah Wahai Hati, terbitan As-Sohwah,
disarankan rawatan hati mesti melalui lima perkara. Iaitu mengawal apa
yang kita dengar melalui telinga, mengawal apa yang kita fikirkan
melalui minda, mengawal apa yang kita perkatakan melalui mulut dan
lidah, dan mengawal apa yang kita pandang melalui mata.
Akhirnya jurnal ini membimbing kita mengawal apa yang kita lakukan
dalam kehidupan sehari melalui persekitaran (sama ada di tempat kerja,
tempat belajar, antara keluarga/jiran tetangga, dan ibadah). Dapatkan
jurnal ini, kerana dengan mencatat setiap hari apa yang kita lakukan
yang memberi kesan kepada hati kita selama 30 hari, insya-Allah kita
dapat mendidik diri kita ke arah yang positif. "Jom jaga diri, jaga
akidah, ibadah dan akhlak."