Isnin, 20 Januari 2014

Bahagia Itu dari Hati yang Tenang


Jadi apa bahagia sebenarnya? Bahagia itu bukan dari luar ke dalam, sebaliknya dari dalam ke luar. Maksudnya, harta, nama dan lain-lain perkara berbentuk kebendaan dan luaran bukan penyumbang kepada kebahagiaan seorang manusia. Bahagia itu datang dari dalam diri dan sesuatu yang maknawi sifatnya.

Untuk menangani sesuatu yang berasal atau berpunca dari dalam diri, manusia tidak boleh bergantung kepada dirinya semata-mata. Manusia harus bergantung kepada Allah, Penciptanya Yang Maha Mengetahui. Soal dalaman ialah soal hati atau roh. Itu sangat sedikit diketahui oleh manusia. Untuk mengetahui rahsia bahagia, manusia perlu kembali kepada Penciptanya (Allah).

Bahagia itu datang dari hati yang tenang. Hati yang tenang terhasil daripada sering mengingati Allah. Dalam al-Quran Allah mengingatkan hanya dengan mengingati-Nya hati akan menjadi tenang. Firman Allah yang bermaksud: “Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” (Surah al-Ra’d 13: 28)


Dengan berzikir hati menjadi tenang dan dengan ketenangan hati itulah ter­ciptanya kebahagiaan pada diri seseorang. Itulah resipi kebahagiaan dari segi ilmiah­nya. Namun bagaimana pelaksanaannya?
Zikir sudah sama tetapi kenapa kesan pada hati berbeza? Sekali lagi, di mana salahnya?

Zikir itu bukanlah sekadar menyebut-nyebut kalimah zikir tetapi yang lebih penting menghayatinya dengan hati dan mempraktikkannya dengan perbuatan. Oleh sebab itu, zikir itu terbahagi kepada tiga dimensi – lidah (qauli), hati (qalbi) dan perbuatan (fi’li)..
Zikir pada lidah, ramai yang sudah tahu. Yakni lidah menyebut-nyebut kalimah zikir sama ada semasa solat, selepas solat, membaca al-Quran dan sebagainya.
Tidak cukup sekadar “membaca” atau “menyebut” kalimah zikir, tetapi paling utama mesti dihayati maknanya. Jika Subhanallah, ertinya Maha Suci Allah. Apa maksud Maha Suci Allah itu? Allah suci daripada segala kekurangan, kelemahan dan lain-lain sifat negatif sama ada dari segi zat, sifat, perbuatan dan nama-nama-Nya. Allah itu juga suci daripada segala sifat buruk, hodoh dan seumpamanya. Berlawanan dengan makhluk-Nya yang serba-serbi lemah, kurang dan hina.

Untuk menghayati zikir Subhanallah, seseorang mesti memahami makna dan pengertiannya. Untuk mengetahui dan memahami, seseorang mesti belajar. Setelah itu barulah erti Subhanallah itu dibawa dalam kehidupan dalam bentuk penghayatan apabila bertemu dengan pelbagai insiden dalam rumah tangga. Katakan “Subhanallah” apabila Allah disifatkan dengan sesuatu yang negatif atau apabila berlaku sesuatu yang di luar dugaan sama ada buruk atau baik, suka atau duka, untung atau rugi..Tidak cukup dihayati sahaja, tetapi praktik “Subhanallah” itu hendaklah diterjemahkan dalam bentuk perbuatan. Segala tindakan sama ada oleh suami atau isteri mestilah mencerminkan mereka benar-benar menyucikan Allah. Orang yang benar-benar menyucikan Allah tidak akan marah-marah, mengherdik..
Adakah mereka berani berbuat demikian jika mereka merasakan yang suci, yang hebat dan kuat hanya Allah? Orang yang marah-marah, bengis dan mudah naik angin boleh dianggap tidak menyucikan Allah dalam kehidupannya sebaliknya dia “menyucikan” dirinya sendiri.
Ya, kebahagiaan itu datang daripada ketenangan. Ketenangan itu pula datang daripada zikir. Namun bukan semua zikir menghasilkan ketenangan. Zikir yang menghasilkan ketenangan hanyalah zikir yang diamalkan secara bersepadu antara lidah, hati dan anggota. Hanya zikir yang bersepadu itu yang memberi ketenangan pada hati untuk menghadapi pelbagai pancaroba dalam hidup.

Hati yang tenang akan bersyukur apa­bila menerima nikmat, sabar apabila ditimpa musibah, rela mem­beri maaf apabila dipinta, mudah meminta maaf apabila bersalah, qanaah dengan rezeki yang ada, tawakal apabila berusaha dan sentiasa bersangka baik dengan Allah dan manusia.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Untuk menenangkan hati, boleh cuba kasturi syifa sebagai ikhtiar : )
http://muslimchoices.com/?p=kasturi_syifa_assyafi