Ahad, 5 Jun 2011

Sanggul Tudung Tinggi Penghalang Bau Syurga(Amek dari ILuv Islam )


Sanggul yang dimaksudkan adalah seperti dalam gambar di bawah.

Memakai tudung yang menampakkan bonggolan dikepala... aku ade berbincang mengenai topik nih dalam facebook dengan kengkawan , sebabnyer semakin ramai wanita sekarang menggayakan fesyen tudung tinggi dan ade juga anak tudung yang direka khas yang dah siap ade bonggol macam kat bawah..


isu nih memang telah lama diperkatakan, tetapi aku dengar macam-macam pendapat dari golongan wanita khasnya yang masih samar-samar pasal isu nih .. walaupun sudah diberi bukti hadith seperti di bawah ..

Renungkanlah hadith-hadith ini :
“Akan muncul dalam kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka( isteri mereka atau anak perempuan), berpakaian tetapi seperti bertelanjang (nipis & ketat).

Di atas kepala mereka pula(wanita) terdapat bonggolan (sanggul atau tocang) seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat” – Hadith Riwayat Ahmad, jil.2, ms. 223.

Rasulullah S.A.W bersabda:
“Dua golongan penghuni neraka yang mana aku sendiri belum pernah melihat keadaan mereka didunia: golongan yang membawa cemeti seperti seekor lembu lalu menggunakannya untuk memukul manusia dan juga kaum wanita yang berpakaian seperti bertelanjang, menggoyangkan badan dan berlenggang-lenggok, kepala mereka ada suatu seperti bonggol di kepala unta yang bergoyang-goyang.

"Mereka tentu tidak akan memasuki syurga atau mencium baunya sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak perjalanan begitu dan begini” – Hadith Riwayat Muslim. Hadith no 212.

Jawapan dari Ustaz Nor Amin :-

Ingatan kepada semua, wanita yang tidak menutup aurat akan berdosa dan haram perbuatan tersebut. Wanita yang bersanggul tinggi yang tidak menutup aurat adalah dosa dan haram sepertimana dinyatakan oleh hadis yang pertama di atas. Masalah ini beza dengan wanita yang bertudung, tetapi mempunyai sanggul tinggi di dalam tudungnya.

Masalah sanggul rambut tinggi seperti bonggol unta ini mestilah dilihat dari tujuannya. Kenapa disanggulkan rambut tersebut? Adakah ia untuk diperlihatkan kepada orang ramai? Adakah untuk menjadikan dirinya cantik? Atau sebagainya. Menurut saya, kalau sanggul tersebut dibuat adalah untuk kecantikkan dan diperlihatkan oleh orang yang bukan mahram, maka ia haram kerana ia menimbulkan fitnah dan menarik perhatian lelaki yang bukan mahram. Ini jelas bahawa wanita Islam hanya boleh menghiaskan dirinya untuk suaminya sahaja dan tidak boleh untuk orang lain. Malangnya wanita Islam sekarang ini tidak tahu maksud perhiasan yang dibenarkan dalam Islam. Ada wanita yang memakai pakaian biasa di rumah dan hadapan suaminya dengan alasan tidak bergaya disebabkan duduk di rumah sahaja, senang nak buat kerja rumah dan sebagainya. Tetapi apabila wanita tersebut keluar rumah dengan pakaian serba cantik dan memakai minyak wanginya hampir sebatu bauannya sehingga menarik perhatian orang lain. Inilah yang dikatakan haram walaupun niatnya betul dan berpakaian kemas dan cantik.

Sanggul tinggi adalah harus apabila tidak menarik perhatian orang lain dan tidak mempunyai niat-niat yang tidak baik seperti mana dinyatakan di atas. Awas!!! Jika sanggul tersebut dapat menarik perhatian orang bukan mahram dan boleh membangkitkan syahwat orang lelaki lain, maka ia menjadi haram dan perlu menukar teknik sanggulnya dari tinggi menjadi rendah. Harus bersanggul tinggi dihadapan suaminya atau berpakaian cantik dihadapan suaminya, kerana ini adalah suruhan agama berhias untuk keselesaan suaminya.

Jika dilihat dari tren orang sekarang ini berfesyen seperti sanggul tinggi dan fesyen tudung yang semakin hari semakin menjadi-jadi fesyen tersebut. Pendapat saya, jika fesyen tersebut tidak melanggar hukum Islam atau syariat Islam tidak menjadi masalah. Kalau ia melanggar syariat Islam walaupun bertudung, tetapi berpakaian ketat seolahnya bertelanjang sepertimana yang ada sekarang, maka itu menjadi haram.

Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
“Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang iaitu kaum yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu yang dengannya digunakan memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian bagaikan bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk membuat maksiat. Sanggul dikepala mereka ditusuk tinggi-tinggi seperti bonggol unta yang sangat lemah. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya sedangkan sesungguhnya bau syurga itu sudah boleh dicium dari jarak demikian dan demikian.”
(Riwayat Muslim).

punca utama aku bangkitkan balik isu nih kerana ade yang mengatakan hadith itu ditujukan untuk golongan wanita yang tidak mentutp aurat dan mengikat rambut atau tocang tinggi macam ekor kuda tuh.. *mase kecik-kecik aku sekolah rendah memang aku suka ikat rambut tocang tinggi..* ehehe ~

tapi pada pemahaman aku senang ajer .. buat ape nak pening-pening kepala.. kita tengok pada niat kita .. kalau nak cantik untuk tatapan umum sudah semestinya akan jatuh HARAM .. so tak payah la kita dan termasuk aku sekalipun sebok nak pakai sanggul tinggi tetapi kalau niat untuk cantik nak berhias demi hubby kita maknanya HARUS .. senang kan?? .. pandangan kengkawan macam mana pulak?? ..

# lame-lame tengok dah serupa macam kepala alien pun ade .. panjang ke belakang ~ muaaahahahah~

Sabtu, 4 Jun 2011

Melatih Diri Menahan Nafsu Dan Syahwat (Amek dari ILuvIslam..) :-)



Allah SWT telah memberikan wahyu kepada Nabi Musa as:

"Wahai Musa, jika engkau ingin Aku lebih dekat kepadamu daripada ucapanmu kepada lisanmu, daripada keraguan hatimu kepada hatimu, daripada rohmu kepada badanmu,daripada cahaya penglihatanmu kepada matamu dan daripada pendengaranmukepada telingamu, maka perbanyakkanlahmembaca selawat ke atas Muhammad SAW"


Allah SWT telah berfirman:

Ertinya: "Hendaklah tiap-tiap orang memerhatikan apa yang diusahakannya untuk hari esok (hari Kiamat)"
Q.S. al Hasyr: 18)

Ketahuilah wahai manusia! Sesungguhnya nafsu yang memerintahkan kejahatan itu lebih memusuhimu daripada Iblis. Syaitan hanyalah memperalat nafsu syahwat untuk menguasaimu. Janganlah engkau tertipu oleh nafsumu dengan segala angan-angan dan kepalsuan.

Watak nafsu adalah merasa aman, suka berlengah-lengah, bersuka-suka dan malas. Setiap rayuannya adalah batil dan palsu belaka. Jika engkau rela menuruti rayuannya, hancurlah engkau. Jika engkau lambat memperhitungkannya tentu akan tenggelam. Jika engkau lemah melawannya, lalu mengikuti keinginannya, tentulah dia akan melemparmu ke Neraka. Nafsu tidak akan pernah menuju kepada kebaikan. Ia sumber bencana. Dialah markas Iblis serta tempat segala keburukan yang hanya diketahui oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT mengetahui segala apa yang engkau perbuat, baik mahupun buruk.

Jika seorang hamba mahu merenungi umurnya yang telah lanjut untuk mencari Akhirat, maka sesungguhnya ia menyucikan hati. Seperti disebutkan oleh Rasulullah SAW: "Berfikir sesaat itu lebih baik daripada ibadah setahun."

Demikian dalam tafsir Abu Laits. Maka sayugianya bagi orang yang berakal segera bertaubat atas dosa yang telah lalu, dan memikirkan akan bekal mencapai keselamatan di Akhirat. Dia memutuskan angan-angan keduniaan, segera bertaubat, mengingat Allah swt, meninggalkan larangan-larangan-Nya, sabar menahan nafsu dan tidak memperturutkan keininan syahwat. Ingat! NAFSU ADALAH BERHALA. Barangsiapa menuruti nafsu bererti menyembah berhala. Orang yang menyembah Allah SWT, dialah yang mampu menahan nafsunya.Diceritakan bahawa Malik bin Dinar berjalan di pasar Basrah. Dia melihat buah tin hingga tumbuh keinginannya terhadap buah itu. Dia membuka kasutnya dan dia memberikan kepada penjual buah itu, seraya berkata,

"Berilah aku buah itu." dan si penjual melihat sandalnya, seraya berkata,
"Oh ini tidak cukup!"
Kemudian Malik berlalu. Maka dikatakan kepada penjual itu,
Apakah engkau tidak mengetahui siapakah dia?"enjual itu menjawab, "Tidak."
Dikatakan kepadanya,"Dialah Malik bin Dinar."
Dengan segera penjual itu meletakkan bakul di bahu pelayannya seraya berkata,
"Jika dia menerima buah ini daripadamu, maka engkau merdeka!"
Kemudian pelayan itu pergi mengikut Malik bin Dinar lalu berkata padanya,
"Terimalah buah ini daripadaku."
Tetapi Malik menolak.
terimalah sebab di sinilah kemerdekaanku." kata pelayan itu. Kemudian Malik menjawab,
"Jika di sini kemerdekaan bagimu, di sini pulalah seksaan bagiku."

Namun pelayan itu tetap juga mendesak-desak. Sehingga Malik bin Dinar berkata,"Aku bersumpah tidak akan menjual agama dengan buah tin dan aku tidak mahu makan buah tin itu sampai hari Kiamat!"

Diceritakan pula bahawa Malik bin Dinar sedang sakit menghadapi mautnya. Dia ingin segelas madu dan susu untuk dimakan dengan roti panas. Pelayan segera menyediakannya. Kemudian Malik mengambil dan memandangnya sejenak seraya berkata,

"Wahai nafsu, engkau telah bersabar selama tiga puluh tahun, padahal umurmu tinggal sesaat lagi."
Maka dia membuang gelas itu daripada tangannya, dia menahan nafsunya hingga dia meninggal. Demikianlah sifat para anbiya', aulia', siddiqin dan zahidin serta orang-orang yang merindukan Allah SWT.

Telah berkata Nabi Sulaiman bin Daud as:"Sesungguhnya mengekang nafsu itu lebih sulit daripada membuka sebuah kota bersendirian."

Ali bin Abi Talib ra juga berkata:
"Aku dan nafsuku bagaikan gembala dengan kambingnya. Jika aku menahannya dari satu sisi, dia melompat dari sisi lain. Barangsiapa dapat menjinakkan nafsunya, dia akan dibungkus dengan kafan rahmat dan dikubur dalam bumi karomah. Tetapi barangsiapa yang membunuh hatinya, terbungkuslah dia dalam kafan laknat serta terkubur alam bumi azab!"

Zahya bin Muaz Ar Razi berkata:
"Perangilah nafsumu dengan taat dan riadah (latihan rohani). Riadah adalah mengurangi tidur, makan mahupun bercakap;menahan kepedihan daripada makhluk. Sedikit tidur akan menyucikan kehendak, sedikit berkata akan terselamat daripada bencana. Dan menahan pedih dapat menghantarkan sampai ke puncak. Bahkan sedikit makan dapat menundukkan syahwat. Sesungguhnya banyak makan dapat mengeraskan hati dan menghilangkan cahayanya. Dan cahaya hikmah adalah lapar. Serta kenyang dapat menjauhkan seseorang daripada Allah SWT."

Sebagaimana Rasulullah SAW telah bersabda:
"Terangilah hatimu dengan lapar. Perangilah nafsumu dengan lapar dan haus. Serta sentiasalah mengetuk pintu Syurga dengan lapar. Sesungguhnya pahala demikian itu bagaikan pahala pahlawan membela agama Allah swt. Dan sesungguhnya tidak ada amal yang lebih disukai oleh Allah swt daripada lapar dan haus. Tidak akan ke kerajaan langit seseorang yang memenuhi perutnya dan kehilangan lazatnya beribadah."

Telah berkata Abu Bakar as-Siddiq ra:
"Aku tidak pernah kenyang semenjak aku masuk Islam agar kutemukan lazatnya beribadah kepada Tuhanku. Dan aku tidak pernah minum puas semenjak masuk Islam kerana rindu berjumpa dengan Tuhanku. Ini kerana jika banyak makan akan sedikit beribadah. Sesungguhnya jika orang banyak makan beratlah badannya, mengantuk dan lemahlah anggota badannya sehingga tidak membuahkan sesuatu. Dia tidur melulu bagaikan bangkai terbuang."

Demikianlah dalam kitab 'Minhajul Abidin'.Daripada Luqman Al Hakim, dia berkata kepada puteranya:

"Janganlah engkau banyak tidur dan makan. Barangsiapa memperbanyak keduanya, pada hari Kiamat dia miskin amal soleh." Ini tersebut dalam kitab 'Maniyyatul Mufti'.

Rasulullah SAW telah bersabda:
"Janganlah engkau membunuh hati dengan banyak makan dan tidur. Sesungguhnya hati akan mati bagaikan tanaman jika tergenang air."

Orang-orang soleh menafsirkan perut ibarat kuali di bawah hati. Jika terisi banyak akan menggenangi hati sehingga menjadi kotor dan hitam. Di samping itu banyak makan dapat mengurangi kecerdasan dalam mencari ilmu.Diceritakan daripada Zakaria bin Yahya as. Dia melihat Iblis membawa beberapa tali. Kemudian dia bertanya,

"Apa itu?"
Iblis menjawab: "Inilah 'syahwat'. Dengan ini akan aku akan ikat anak cucu Adam."

Yahya bertanya lagi, "Apakah kau pernah mengikatku dengan itu?"

Iblis menjawab, "Tidak. Hanya pada suatu malam engkau makan sampai kenyang kerananya aku beratkan engkau melakukan solat."

Kemudian Yahya berkata,
"Sesungguhnya telah kejadian itu aku tidak akan makan sampai kenyang selamanya."
Iblis juga berkata, "Sesungguhnya aku tidak akan melepaskan seseorang selamanya."

Demikianlah orang yang tidak pernah kenyang selama hidupnya kecuali satu malam. Bagaimana orang yang tidak pernah lapar kecuali satu malam lalu mengharapkan lazatnya ibadah? Diceritakan juga daripada Yahya bin Zakaria as. Pernah satu kali dia kekenyangan makan gandum. Pada malam itu dia tertidur ketika berwirid.

Kemudian Allah SWT memberi wahyu kepadanya seraya berfirman,
"Apakah engkau menemukan rumah untukmu yang lebih bagus daripada rumah-Ku? Apakah engkau menemukan teman yang lebih baik daripada berteman denganku? Demi kemuliaan dan keagungan-Ku jika engkau melihat syurga Firdaus lalu melihat neraka Jahanam, pastilah engkau akan menangis mengeluarkan nanah sebagai ganti air mata dan engkau akan memakai besi bagi menggantikan kain".

Rabu, 1 Jun 2011

Hati Yang Terluka (Amek dari AkuIslam...;-)..)


Kita selalu memerlukan sebuah cermin untuk menilai seberapa panjang rambut kita, seberapa banyak jerawat yang menghiasi wajah kita, seberapa kedut kemeja yang kita pakai, atau sekadar memastikan apakah hari ini letak telinga sebelah kiri adalah sama dan seimbang dengan telinga sebelah kanan,dan sebagainya..

“Buruk rupa, cermin dibelah.”

Kalimat sakti ini seolah menyindir mereka yang enggan menerima sebuah kenyataan pahit bahawa pada dirinya terdapat perkara yang (mungkin) bertentangan dengan nilai estetika mahupun etika manusia kebanyakan, kerana pada kenyataannya cermin selalu jujur memantulkan objek di depannya dan (atau) merefleksikan kembali tanpa hipokrit.

Saya menemui salah satu cermin yang sebenarnya sudah Allah selipkan untuk kita temui sewaktu di saat-saat tertentu ketika saya memerlukannya. Setiap tarikan nafas, menjelma istighfar yang membawa saya kembali menemui kenyataan sejati bahawa diri yang daif ini amat sangat lemah, kecil, dan hampir tak bererti.

Jika Nabi Muhammad SAW yang maksum dan mahfudz beristighfar setiap hari kepada Allah sebanyak 70 kali dengan genangan airmata.

Jika Abu Bakar pernah memegang lidahnya sambil mengatakan “Lidah inilah yang menjerumuskan aku ke dalam banyak lubang (kesalahan).” sehingga dia sering menangis dan berharap boleh menjadi pohon yang dimakan dan dilumat saja tanpa diminta untuk bertanggungjawab.

Jika Umar pernah didapati pada suatu malam memukul kedua kakinya dengan kayu seraya berkata, ”Apa yang sudah ku kerjakan hari ini.”

Jika Usman setiap kali berhenti pada suatu perkuburan selalu menangis sehingga air mata membasahi janggutnya, demikian juga halnya Ali yang sentiasa menangis kerana takut akan datangnya hari dimana segala sesuatu akan diperhitungkan.

Mengapa saya tidak terganggu dengan perkara itu? Hei… Apa yang terjadi dengan saya? Iblis mana yang telah menyelitkan rasa ujub dan takabbur ke dalam rongga hati hingga tanpa sedar diri ini seakan larut dan terbawa, bahkan memandang diri yang lemah ini dengan kekaguman?

Saya bersyukur Allah telah mengirimkan seorang sahabat di sepertiga malam terahir yang pada dirinya saya temukan “cermin” yang dengan cermin darinya saya dapat melihat luka-luka yang ada di dalam jiwa saya. Luka-luka yang selama ini mungkin telah saya abaikan.

“Sesungguhnya orang-orang yang berhati-hati kerana takut akan azab Tuhan mereka. Dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka. Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan dengan Tuhan mereka (sesuatu apapun). Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, kerana mereka tahu sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka, mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya.” (QS. Al-Mu’minuun: 57-60)

Tawadhuk (Amek dari CahayaMukmin..:-D)


Petua untuk melepaskan diri daripada bahaya takabur ialah:

1) Jika anda menemui orang jahil dan orang fasik, maka katakanlah (beritahu) pada diri anda sendiri iaitu: "Orang itu melakukan dosa kerana dia jahil, padahal aku ada ilmu kerana hajat Allah Ta'ala yang begitu tinggi terhadap diriku, tergamak melakukan dosa. Maka tidak syak lagi bahawa orang itu lebih baik (mulia) daripada aku."

2) Sekiranya anda ternampak kanak-kanak, maka katakanlah dalam hati anda iaitu: "Kanak-kanak ini kalau melakukan dosa tidak diseksa Allah Ta'ala. Tetapi, kalau aku melakukan dosa, diseksa Allah Ta'ala. Maka tidak syak lagi bahawa kanak-kanak itu lebih mulia daripada aku."
3) Jika anda menemui orang alim, maka anda katakan dalam hati anda iaitu: "Orang ini dikurniakan Allah Ta'ala ilmu, sedangkan aku tidak dikurniakan sepertinya. Maka tidak syak lagi bahawa orang alim lebih mulia daripada aku. Sepatutnya aku bersopan santun dihadapannya (merendah diri)."

4) Sekiranya anda menemui orang tua, maka katakanlah dalam hati anda iaitu: "Orang ini lebih tua daripadaku, tentu ilmunya pun banyak daripadaku kerana dia banyak melihat dan mendengar. Maka tidak syak lagi bahawa orang tua ini lebih mulia daripada aku."

5) Kalau anda ternampak semua binatang, maka dalam hati anda katakan iaitu: "Binatang ini tidak berdosa, tidak diseksa Allah Ta'ala. Sedang aku diseksa Allah Ta'ala kerana melakukan dosa. Maka tidak syak lagi bahawa binatang ini lebih mulia daripada aku."

Ketika itu juga anda akan tahu dan sedar bahawa diri anda itu tidak memilki kemuliaan walau sezarah pun iaitu selepas anda merenung diri anda. Bahkan diri anda itu amat hina, serba kekurangan, bebal dan jahil daripada orang lain walaupun anda memiliki martabat yang tinggi, keturunan yang mulia, sangat alim dan bijak daripada orang lain.

Chemburuuuu..betull ke... Shayangg ekk..:-/ (amek dari KOLEKSI ANIS/ Oleh: Roslan Kassim)


Banyak sudah terjadi pasangan yang putus hubungan kerananya. Ada yang putus persahabatan, tali pertunangan dan

tidak kurang juga berlaku perceraian ikatan perkahwinan gara-gara cemburu.

Malah sering juga terdengar kisah cemburu menjadi motif kepada kes-kes jenayah termasuklah pembunuhan. Justeru

adanya cemburu boleh meracuni perhubungan dan pergaulan di tengah kehidupan.

Namun tanpa cemburu juga merbahaya. Tanpa cemburu maka tiada siapa yang akan ambil peduli dan terpanggil untuk

rasa bertanggungjawab untuk membaiki keadaan. Sebarang kebiasaan tabiat buruk dan keterlanjuran akan mudah

membarah menjadi gejala tidak sihat, maksiat dan mungkar. Tanpa perhatian dan pengawasan maka tingkah laku yang

buruk akan semakin menjadi-jadi sehingga sukar dipulihkan lagi.

Sebenarnya bukan semua cemburu itu tidak baik. Ada cemburu yang baik dan terpuji malah disukai Allah. Nabi s.a.w.

ada bersabda: Di antara kecemburuan itu ada yang disukai Allah dan ada yang dibenci Allah. Adapun yang

disukai Allah ialah cemburu yang berisi keraguan, sedangkan yang dibenci Allah ialah cemburu yang tiada ragu-ragu

lagi.” (Riwayat Abu Daud)

Cemburu yang tiada lagi asas untuk ragu dan sangsi inilah yang dikatakan cemburu buta. Bagi cemburu sedemikian,

pintu kemungkinan berlakunya kesilapan atau salah sangka sudah tertutup rapat. Sesuatu yang dicemburukan itu

diyakini benar berlaku tanpa selidik dan usul periksa. Sebaliknya cemburu yang baik itu ada asasnya dan disusuli

dengan usul periksa.

Selanjutnya meluahkan rasa cemburu juga perlu secara kasih dan sayang, bukannya dengan melulu. Justeru cemburu

yang baik itu harus dipandu oleh akal, bukan dengan semata-mata emosi.

Cemburu juga tidak harus dipersempitkan kepada terjejasnya perasaan kasih dan sayang antara pasangan kekasih atau

suami isteri sahaja. Ini kerana selain kekasih, suami atau isteri, banyak lagi yang disayangi oleh manusia dalam

hidupnya.

Sejajar dengan ini Imam Fudhail ‘Iyadh r.m. mentakrifkan cemburu itu sebagai perubahan bentuk kata-kata

seseorang akibat berubahnya suasana hati yang bergelegak kerana marah. Ini disebabkan ikut sertanya orang lain

dalam sesuatu yang dirasakan khusus milik dirinya.

Sesuatu yang menjadi hak milik dan kepunyaan seseorang tidak terhad kepada pasangan hidupnya sahaja. Ia termasuk

juga harta benda, kemuliaan dan nama baik, keharmonian rumah tangga, ketaatan anak-anak, keakraban kaum

keluarga yang dimiliki.

Demikian juga kemurahan rezeki, keupayaan istiqamah berbuat baik, bersedekah jariah, berakhlak mulia seterusnya

segala kelebihan anugerah Ilahi yang sedang dinikmati secara peribadi. Pastinya semua ini akan disayangi kerana tinggi

nilaiannya dan sukar diperolehi. Justeru setiap yang disayangi ini akan dicemburui pula. Kerana tidak mahu ia luput atau

pudar.

Memang ada kebenarannya cemburu itu tanda sayang. Jikalau tiada perasaan sayang di dalam hati maka tiadalah

luahan rasa cemburu di bibir mulut dan wajah. Oleh itu bagi sebuah keluarga dan rumah tangga bahagia, maka cemburu

itu merupakan suatu keperluan.

Bukan sahaja isteri harus mencemburui suaminya, malah suami juga harus cemburu kepada isterinya. Demikian juga ibu

bapa harus cemburu pada anak-anak. Kecemburuan ini bersumberkan ikatan kasih sayang yang sedia terjalin.

Keharmonian rumah tangga juga harus diwarnai dengan cemburu terutama oleh suami atau bapa selaku ketua keluarga.

Keharmonian amat mahal harganya dan wajar disayangi dengan menghindari segala yang boleh mencacat-celakannya.

Demikian juga terhadap kesefahaman, kemurahan rezeki, keberkatan hidup berkeluarga dan seumpamanya; semua itu

merupakan nikmat anugerah Ilahi yang tiada tolok bandingnya.

Tidak sempurna cemburu itu jika hanya sebagai tanda adanya sayang. Cemburu juga perlu kerana sayang.

Persoalannya, sayang yang bagaimana? Sebagai contoh, tidak cukup sayangkan isteri kerana kecantikan rupa

parasnya. Jika demikian, apabila kecantikan itu hilang dimamah usia maka akan pudar jugalah rasa cemburu suami

terhadap isterinya. Sayang tidak akan kekal dan cemburu tidak akan berterusan jika diikat dengan suatu yang tidak

abadi dan hakiki kerana mengalami perubahan.

Oleh itu mutu kasih dan sayang harus dipertingkatkan. Sayang dan cemburu seorang suami atau bapa kepada isteri dan

anaknya haruslah sampai ke pintu syurga. Ini kerana syurga itu hakiki dan salah satu makhluk yang kekal abadi. Firman

Allah s.w.t.: “Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada azab seksa api

neraka.” (At-Tahrim: 6) Dalam melaksanakan perintah pemeliharaan ini maka ketua keluarga perlu memiliki sifat

cemburu.
Tuntutan sayang pada anak dan isteri harus juga kerana sayangkan hubungan kasih dan cinta pada Allah. Dia-lah

sumber ikatan kasih sayang yang paling utama, sejati dan abadi. Jangan tergadai ikatan kasih sayang pada Ilahi kerana

sayangkan anak, isteri, harta benda dan lain-lain.

Jika berlaku pertembungan cemburu atau cinta antara kepada Allah dan selainnya maka perhatikanlah firman Allah

s.w.t. ini: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu

usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri rugi dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai; adalah lebih kamu

cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-

Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik.” (At-Taubah: 24)

Justeru, cemburulah apabila suami atau isteri mahupun anak yang memaparkan tanda-tanda lalai dan leka serta

melencong daripada landasan hidup orang yang dicintai Allah. Peka dan cemburulah terhadap kehalalan dan keberkatan

punca rezeki. Cemburulah dengan masa dan makanan yang terbazir. Sesungguhnya orang yang mubazir itu saudara

syaitan yang mendapat kutukan Allah.

Demikian juga apabila anak gadis dibawa lelaki ajnabi ke hulu dan hilir, ini harus dicemburui. Anak-anak yang berubah

perangai dengan tiba-tiba atau sering pulang lewat harus dicemburui. Suami atau isteri yang mula berleka-leka dengan

hiburan dan berpeleseran hingga semakin lalai dengan Tuhan harus dicemburui.

Jangan tunggu sehingga anak teruna sudah meleleh hidungnya, matanya merah berair, mulut berbuih dan berbau asap

dan tekak anak gadis telah loya dan muntah-muntah; baru hendak cemburu. Cemburulah untuk mencegah sebelum

penyakit menjadi parah!

Jadi memang benar cemburu itu tanda sayang dan kerana sayang. Sayangilah apa juga, asalkan dihubungkan dengan

kasih sayang kepada Allah yang empunya segala-galanya. Cemburu itu adalah pengimbang dan pengimbas kasih

sayang. Ia merupakan satu keperluan rumah tangga bahagia. Asalkan neraca dan teropong yang menjadi asas

kecemburuan itu selari dengan kehendak Allah s.w.t.

Oleh itu, sentiasalah peka dengan apa-apa yang Allah marah dan benci serta cemburu. Cemburu kerana sayangkan

Allah itu dengan memelihara rahmat dan nikmat kurniaan-Nya, kerana mahu bersyukur dan bimbang kehilangan

pandangan kasihan belas dari Allah. Juga kerana takut hilang keberkatan hidup dan petunjuk-Nya.

Mudah-mudahan dengan cemburu itu terbuka pintu pengampunan Allah dan seisi keluarga tidak kempunan nikmat

syurga milik-Nya. AMIN!


Mencari Jalan Pulang (Amek dari mencari jalan pulang..;-)


Serik dan perit
Pilu menghiris di jiwa
Tatkala aku mencari cari
Sinar cahayaMu
Ya Ilahi..


Dikala ku tenggelam
Dalam fananya dunia
Dalam tipu daya
Dalam gelutnya kerja
Kau titipkan peringatan..

 
PeringatanMu
Peringatan demi peringatan
Kadang kala ku nafikan
Ampunilah diri ini Ya Allah..
Kerasnya hati ini
Susahnya menerima tarbiyahMu
Lantaran kepalsuan dunia yang dicari..

Ya Allah
Ku dipersimpangan
Memerlukan secebis kekuatan
Untuk terus berlari
Menggapai maghfirahMu
Mencari redhaMu..


Terlalu berat
Untukku hadapi dugaan ini
Namun ku yakin
Ini adalah yang terbaik
Ujian yang terbaik
Dalam mendidik jiwaku
Agar terus belajar
Dan mencari erti sebenar
Tugasku sebagai hambaMu..


Ya Allah
Ku yakin dengan janjiMu
Kerana Kau tidak pernah
Memungkiri janjiMu..
Bantulah aku
Mencari jalan pulang

Sabar itu Indah ( Dari Mencari Jalan Pulang)


Bismillah Walhamdulillah.
Mata sudah mengantuk. Tapi saya gagahkan juga untuk menulis sesuatu.

Sabar. Frasa yang biasa kita tulis dan dengar. Tetapi agar luar biasa untuk konsisten melaksanakannya. Amat payah.
Pernahkah sahabat-sahabat diuji sehinggakan sampai di satu tahap kalian berasa putus asa dan kecewa? Gagal dalam peperiksaan, disakiti rakan, susah nak berubah, dan macam-macam lagi. Itu adalah contoh ujian-ujian yang saya hadapi. Kalau kalian tiada masalah, tak normal tu :D


Sabar.
Apa yang ada pada sabar?

Sabar sangat dituntut dalam banyak perkara. Terutamanya apabila berhadapan dengan situasi yang mencabar. Seperti seorang doktor yang sedang melakukan pembedahan, adalah tidak mustahil untuk berdiri selama 10 jam. Malah berbelas-belas jam untuk satu2 pembedahan yang kritikal. Tapi kuncinya sabar. Jika tergopoh gapah, mautlah yang dicari untuk pesakit. Bahkan, karier juga akan musnah.

Begitu juga kita. Sabar sangatlah dituntut dalam melakukan sesuatu seperti membuat keputusan, menahan perasaan dan sebagainya. Dan paling penting, tujuan sabar itu hendaklah jelas. Bolehkah kita bersabar apabila maksiat dihadapan mata? Kalian tahu jawapannnya.


Tujuan sabar adalah untuk mendekatkan diri pada Allah. Terlalu banyak ayat dalam Al-Quran yang menyebut tentang sabar.

Allah beri ujian, untuk lihat sejauh mana sabarnya kita. Ujian tanda Allah sayang. Jadi, senyumlah tatkala sedang bersabar. Jika tiada kesabaran dalam meniti ujian, hilanglah nikmat kemanisan ujian. Jadi, berusahalah mencari Allah dalam sabar itu. Ada petanda Allah kurniakan ujian supaya kita kembali,bersabar dan merintih pada Allah. Bukankah Allah pencipta kita? Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Indahkah sabar?

Ya. Jika kena pada caranya. Sabar yang mendorong kita ke jalan yang benar. Sabar yang dapat memberi kekuatan rohani untuk lebih maju di masa akan datang.

Peritkah sabar?

Ya. Tetapi pulangannya cukup berharga. Usah berasa susah dan rugi untuk bersabar. Allah telah janjikan pelbagai kenikmatan untuk hambaNya yang bersabar. Ragu lagikah kita pada apa yang telah Allah janjikan??

Akhir sekali, semoga ayat ini menjadi penawar untuk kita yang sedang menghadapi ujian. Moga sabar itu indah~

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” (Surah AlBaqarah : 286)