"Pandangan mata seorang wanita lebih tajam dan merbahaya
daripada tembusan panah yang berbisa. Oleh itu awasilah selalu agar
jangan terkena panahan matanya..."
Aduhai wanita sungguh mahal pandangan mu di mata lelaki, tapi kenapa
masih ada lagi yang tidak menyedari? Dirimu terlalu agung di mata lelaki
dan terlalu mulia di sisi pencipta mu; namun itu semua hanya jika kau
tahu mengagungkan dan memuliakan diri mu sendiri. Menjadi wanita adalah
satu anugerah yang tepaling indah. Seharum mana pun wangian kasturi
tidak mampu menandingi wangian budi pekertimu, lembutnya gumpalan kapas
masih tewas dek kelembutan tingkah mu, halusnya butiran pasir yang
menjadi peneman setia si pantai masih tidak dapat menandingi halusnya
tuturmu.
Duhai wanita sebenarnya, maruah diri yang kau galas lebih berat
daripada bongkah bongkah batu yang besar, kau menepis dengan penuh sabar
tiap godaan nafsu dunia yang datang bertubi tubi hingga hampir
mengheretmu ke kancah yang penuh onar. Percayalah wanita, akan ada
bahagia diakhir kesengsaraanmu asal saja kesabaran menjadi bentengmu.
Wanita ku, terima saja makian yang bederu deru ibarat halilintar yang
singgah di cupingmu, terima saja itu dengan senyuman dan ambil saja
sebagai halwa telinga yang mengajarkan mu erti kesabaran. Itu sebenarnya
dendangan sumbang dari bibir bibir sumbing yang ingin melihat mu
sungkur. Percayalah akan ada berita manis yang singgah dicupingmu suatu
masa nanti asal saja gunung kesabaranmu tidak pernah kau tarah.
Saudara wanitaku, iman mu adalah perisai, agamamu adalah landasanmu
disetiap langkah yang kau atur. Jangan sesekali kau biarkan anasir
songsang memperkotak katikan iman mu apatah lagi agama yang kau kandung
hanya kerana nikmat duniawi semata mata, jangan kau gadaikan maruahmu
yang tidak ada galang gantinya hanya kerana mengejar sesuatu yang tidak
mungkin bisa kau kendong. Andai kata kau tersungkur, segeralah bangkit
dan sekiranya kau tersasar jauh dari landasan hidupmu atur kembali
langkahmu bersama titipan iman dan mulakan dengan langkah yang baru.
Sedangkan sang jentayu yang kepatahan sayapnya masih bisa hidup
bertongkat paruh apatah lagi kau yang dianugerahkan akal fikiran. Jangan
bersedih wahai wanita andai apa yang kau ingini tidak kau beroleh di
dunia, syurga itu sentiasa menanti mu. Bulatnya iman dan takwa sumaiyah
ketika di hunuskan tombak ditubuhnya, demikian jugalah bulat iman mu
harus kepada pencipta mu.
Peganglah kata kata ini, "kau sebenarnya tidak akan tersasar seandainya keimananmu kau jadikan sebagai tunjang dalam kehidupan".
Wanita, biar tawadukmu lebih menggungung daripada kejelitaanmu, biar
keayuan mu terpancar dek kerana lemah gemalainya perilaku, biar
kebijaksanaan mu terpampang oleh tingginya ilmu mu. Jangan sesaat pun
kau lupa setianya masyitah pada Tuhannya, agungnya kasih khadijah kepada
agamanya dan perjuangan srikandi srikandi agama terdahulu. Jadikan
agama mu sebagai tunjang yang memperkasakan akidah mu, biar kesabaranmu
manjadi benteng perjuanganmu dan lebarkan iman mu dengan sejuta lapis
sifat mahmuda. Jadilah kita wanita paling bahagia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan