Isnin, 1 Ogos 2011

Ramadhan & Kisah dari Kehadirannya (Ambil dari Fesbuk En.Ahmad Rizal..)..:-D


Bulan Ramadhan ialah bulan ke sembilan dalam taqwim Hijrah. Dalam bulan ini diwajibkan kepada semua orang Islam yang beriman kepada ALLAH menunaikan fardhu puasa. Firman ALLAH s.w.t. dalam Surah Al-Baqarah ayat 183, “wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan dan kelebihan, yang sepatutnya semua muslim mengambil peluang bermaaf-maaf sesama makhluk dan memohon keampunan dari ALLAH s.w.t. agar amalan dalam bulan ini tidak terhijab oleh dosa-dosa yang masih belum diampun. Dari Abi Hurairah r.a. bahawasanya dia berkata: Sabda nabi Muhammad s.a.w., “celaka bagi seseorang, apabila namaku disebutkan di sisinya sedangkan dia tidak mahu membaca selawat untukku (ALLAHhumma shalli wasallim’alaih), celaka bagi seseorang yang masih mempunyai dua orang tua atau salah seorang dari keduanya, sedang dia belum pernah melaksanakan hak mereka suatu amalpun yang menjamin dirinya dapat masuk syurga, dan celaka bagi seseorang yang menjumpai bulan Puasa (Ramadhan), sampai selesainya bulan, dia belum diampuni”. Kerana sesungguhnya bulan Ramadhan itu bulan rahmat (kasih sayang) dan bulan keampunan dari ALLAH Ta’ala, maka bilamana belum diampuni di bulan Ramadhan, tertipulah dia lalu tergolonglah dia dalam golongan orang yang rugi.

Dari Abi Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Malaikat Jibrail a.s telah mendatangiku seraya berkata: Hai Muhammad Barang siapa yang umurnya sampai pada bulan Ramadhan, tetapi belum mendapat ampunan, maka ALLAH akan jauh darinya, dan aku (Muhammad s.a.w) hanya mengucapkan “Amin”. Dan barangsiapa semasa hidupnya kedua orang tua atau salah seorang di antaranya masih hidup dengan tidak menghubungi, maka ia masuk neraka dan Allah akan jauh daripadanya. Maka aku mengucapkan “Amin”. Dan bilamana namamu disebut, tetapi orang tersebut tidak menyampaikan selawat untukmu, maka ALLAH akan jauh darinya, ucapkanlah “Amin”. Maka ku mengucapkan : “Amin”.

(Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban).


Ramadhan ialah bulan untuk orang-orang beriman meningkatkan ibadah dan beramal soleh. Pengaruh hasutan syaitan telah dilemahkan atas izin ALLAH s.w.t. Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasullulah s.a.w. bersabda, “apabila bulan Ramadhan datang, maka dibukakan pintu-pintu syurga (maksudnya kesempatan beramal soleh ALLAH bukakan seluas luasnya) dan ditutuplah pintu-pintu neraka (Maksudnya, ALLAH tutup kesempatan untuk berbuat kejahatan,keji dan mungkar) serta dibelenggu syaitan-syaitan”. Maksud ‘dibelenggu syaitan-syaitan’ ialah segala kesempatan syaitan menggoda manusia ALLAH persulit dan sukarkan, sehingga apabila kita masih berbuat keji, jahat dan memburuk burukkan orang juga di bulan Ramadhan, maka itu sesungguhnya merupakan keperibadian sikap manusia itu sendiri.

Di siang Ramadhan umat Islam diwajibkan mengerjakan ibadah puasa sebagaimana yang dituntut dalam Rukun Islam dan di malamnya umat Islam di galakkan penuhi malam dengan ibadah sunat seperti solah Tarawih dan solah-solah sunat malam seperti solah Tahajjud, Taubah dan Hajat tanpa meninggalkan solah wajib lima waktu sehari semalam.


Dari Umar bin Khatab ra dari Nabi Muhammad saw., bahawa beliau bersabda: “Apabila salah seorang darimu terbangun dari tidurnya, serta berguling guling dari satu sisi ke sisi yang lainnya, maka berkatalah Malaikat kepadanya: Bangunlah semoga memberkahi engkau dan kasih sayang kepada engkau. Apabila dia berdiri (bangun) dengan niat untuk mengerjakan solat (Malam), maka tempat tidunya akan berdoa dengan doa, ya ALLAH, berikanlah kepadanya peraduan yang tinggi. Apabila ia mengenakan pakaian, maka pakaiannya berdoa, ya ALLAH, berikanlah dia pakaian dari syurga. Apabila ia mengenakan seliparnya, maka seliparnya pun berdoa, ya ALLAH kukuhkanlah kedua kakinya di atas titian shirat (Shiraathal Mustaqiim). Apabila ia memengang gayung (untuk berwudhu’), maka gayungnya pun berdoa, ya ALLAH, berikanlah dia cawan minuman dari syurga. Apabila dia mengambil wudhuk, maka airpun berdoa, ya ALLAH, sucikanlah dia dari segala dosa dan kesalahan. Apabila dia mengerjakan solat, maka rumahpun berdoa, ya ALLAH, luaskanlah kuburnya, terangkan liangnya dan tambahlah rahmatnya. Pada saat itu ALLAH melihat kepadanya dengan penuh kasih sayang-Nya, seraya berfirman: Hai hamba-Ku, engkau berdoa dan aku mengabulkan, engkau meminta dan Aku memberi, dan engkau minta ampun, Akupun mengampuni” .

Ganjaran dan keistimewaan bagi mereka yang menghidupkan Ramadhan dengan pengisian ibadah yang dituntut syara’ akan diberi kurniaan yang tiada tolak bandingnya diakhirat kelak sebagaimana riwayat hadith berikut:


Dalam suatu riwayat Zahratur Riyaadh, Rasulullah s.a.w bersabda: “Bahawa Ramadhan pada hari Kiamat kelak akan datang dengan bentuk gambaran yang sangat indah, kemudian ia bersujud di hadapan ALLAH Ta’ala. Maka ALLAH berfirman: Hai Ramadhan, mintalah apa kehendakmu dan tolonglah orang yang mengerti dalam menunaikan hakmu. Maka Ramadhan pun berkeliling di padang luas dan membimbing serta menolong orang yang mengerti dalam menunaikan haknya, kemudian ia berhenti di hadapan Tuhan. ALLAH Ta’ala berfirman: Hai Ramadhan apa yang engkau kehendaki?. Ramadhan menjawab: Saya mengkehendaki agar engkau (Tuhanku) berkenan memberikan kepada mereka ini, mahkota kebesaran. Maka ALLAH pun memberi seribu mahkota kepadanya. Kemudian Dia (ALLAH) mempersilakanya untuk memberikan syafaat kepada tujuh puluh ribu orang yang berdosa besar dan menghwinkannya dengan seribu bidadari , yang tiap tiap bidadari memberi tujuh puluh ribu pelayan. Kemudian Allah menaikkannya ke atas kenderaan Buraq, kemudian ALLAH berfirman: mahu apa lagi, hai Ramadhan? Ia menjawab: Tempatkanlah dia di samping Nabi-Mu. Maka ALLAH pun menempatkannya di syurga Fidaus. ALLAH berfirman pula: “hai Ramadhan apalagi yang engkau kehendaki? Ramadhan menjawab: Telah Engkau laksanakan hajatku Ya ALLAH, di Mana kemuliaan Engakau? Maka ALLAH memberi lagi seratus kota, yang dibangunkan dari batu permata indah kemerahan dan batu pualam hijau, sedang di tiap-tiap kota itu terdapat seribu istana nan megah”.

Dari Annas bin Malik ra, dari Nabi saw ia berkata: “ barang siapa mendatangi majlis ilmu pengajian di bulan Ramadhan, maka ALLAH mencatat tiap-tiap langkahnya sebagai ibadah satu tahun dan dia akan bersamaku di bawah panji-panji ‘Arasy, barang siapa memelihara solat berjamaahnya di bulan Ramadhan, maka tiap-tiap rakaatnya akan diganjari satu kota penuh dengan nikmat ALLAH, barang siapa berbuat baik kepada orang tuanya di bulan Ramadhan, maka akan memperolehi perhatian ALLAH dengan penuh kasih sayang, dan seorang perempuan yang mencari keredhaan suaminya di bulan Ramadhan, maka baginya pahala seperti pahala Maryam dan Aisyah, dan barang siapa menolong keperluan saudaranya yang muslim di bulan Ramadhan, maka ALLAH akan menolong seribu keperluannya di hari kiamat”.


Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa menerangi masjid dengan lampu dalam bulan Ramadhan, maka baginya cahaya di dalam liang kuburnya dan dicatatkan pahala untuknya pahala dari setiap orang yang solat di dalam masjid itu, dan para malaikat sama-sama memohonkan kebaikan (selawat) untuknya, bahkan malaikat pembawa Arasy pun memohonkan ampunan untuknya, selama lampu itu ada di Masjid”.

Ramadhan juga mendidik ummat manusia agar berakhlaq mulia dengan meninggalkan sifat-sifat mazmummah. Orang yang masih tidak menginsafi dan muhasabah diri lalu berterusan mengulangi perbuatan yang mendatangkan dosa ialah mereka yang sangat rugi setelah berlalunya bulan Ramadhan.

Diriwayatkan dari Anas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Lima perkara yang menghapuskan puasa (ertinya menghapuskan pahalanya) iaitu: Dusta, mengumpat, mengadu damba, sumpah palsu dan melihat dengan nafsu syahwat”.


Imam Al-Bukhari ada meriwayatkan: “Tiada tempat yang paling dibenci Allah dari perut yang penuh walaupun dengan yang halal”.

Banyak lagi ayat-ayat Al-Quran dan Hadith-hadith Nabi s.a.w. yang menyatakan kelebihan Ramadhan yang boleh kita hayati dengan keimanan dari hati yang ikhlas untuk beramal kerana ALLAH s.w.t. Semoga bulan Ramadhan ini dapat kita sama-sama penuhi dengan beramal soleh dan tidak berlalu dengan sia-sia. Penyesalan semasa roh telah sampai dikerongkong akan kenangan terlepasny hari-hari berharga yang disia-siakan tiada gunanya. Rebutlah kelebihan Ramadhan yang mana sesungguhnya janji ALLAH itu benar.

Wassalam.


Tiada ulasan: