SEBAGAI manusia, selagi hidup kita akan berinteraksi dengan orang
lain. Setiap hari kita berkomunikasi dengan orang di sekeliling dan dari
situ kita dapat memproses maklumat serta membina hubungan dalam
bermasyarakat.
Orang yang enggan berinteraksi sebenarnya adalah orang yang tidak
berada dalam realiti kehidupan yang hakiki dan dia sebenarnya tidak
menunaikan tuntutan sebagai manusia.
Orang yang suka bersendirian akan lebih terdedah kepada hasutan
syaitan sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW: “Sesungguhnya syaitan
itu seperti serigala kepada manusia sebagaimana serigala kepada
ternakan. Ia menerkam kambing yang bersendirian dan terpencil. Maka,
jauhilah kamu daripada berpecah belah, dan wajiblah kamu bersama-sama
jemaah, orang ramai dan masjid.” (riwayat Ahmad)
Namun, dalam kehidupan bermasyarakat, kita perlu menjaga akhlak dalam
percakapan dengan orang lain. Ketika berkomunikasi, antara perkara
penting yang perlu diberi perhatian adalah kebenaran fakta yang
disampaikan kepada kita dan sejauh mana ketepatan maklumat yang kita
sampaikan kepada orang lain.
Bak kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”.
Islam menganggap fitnah satu daripada sifat mazmumah (tercela) dan dilarang Allah seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:
- Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan. (al-Baqarah: 191)
- Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah. (al-Qalam: 29).
Oleh itu, kita perlu menjaga dua perkara dalam berinteraksi iaitu
input dan output. Di kebanyakan waktu dan ketika, kita perlu mempunyai
usaha dalam menapis maklumat yang diterima.
Justeru, Allah SWT memerintahkan kita untuk tabayyun iaitu
menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika
datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka
selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak
menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab
kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang
kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)
Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang
sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang
sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.
Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak
terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah
menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami
maklumat berkenaan.
Sebagai contoh, seorang hakim tidak boleh membuat keputusan tanpa
bersikap adil dalam memperolehi maklumat. Justeru, hakim perlu memanggil
kedua-dua pihak sama ada tertuduh atau yang menuduh.
Kita tidak boleh menghukum seseorang dengan sentimen. Islam mengajar kita menghukum berdasarkan maklumat yang tepat.
Ia seperti yang disebut dalam satu kaedah, “Menjatuhkan satu-satu
hukuman dalam sesuatu perkara hendaklah berdasarkan tasawur yang jelas
tentang perkara tersebut”.
Dalam sejarah umat Islam, kita menyaksikan betapa fitnah membawa
bencana dan malapetaka dalam masyarakat. Fitnah inilah yang membawa
kepada pembunuhan Saidina Uthman r.a yang dituduh menjalankan dasar
kronisme dan nepotisme dalam pentadbirannya.
Fitnah juga menyebabkan berlaku pertembungan di antara para sahabat
besar seperti Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan Muawiyah bin Abi Sufyan
r.a.
Munir al-Ghadban menyebut dalam kitabnya berkenaan Muawiyah bin Abi
Sufyan: “Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam
sejarah umat Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang
awal, yang ditarbiah dengan tangan Rasulullah SAW dan mereka yang hidup
dengan wahyu langit, lalu diperburukkan, dibohongi mengenainya dan
didustakan kepadanya seperti yang terkena pada Muawiyah bin Abi Sufyan
r.a…”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan