Rabu, 27 Julai 2011

Segalanya Tentang Ramadhan..:-)


Hazrat Salman r.a. berkata bahawa Rasulullah Sollallahu A’laihi Wasalam telah bersabda kepada kami pada hari terakhir bulan Sya’aban :

“Wahai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi diberkati. Satu bulan yang di dalam bulan itu satu malam (Lailatulqadar) yang lebih baik dari seribu bulan. Satu Bulan yang Allah Subhanahu Wa Taa’la telah menjadikan puasa pada siang hari sebagai satu amalan fardu dan berdiri pada malam hari (berterawih) sebagai satu amalan sunat.

Sesiapa yang cuba menghampiri Allah pada bulan itu dengan amalan-amalan sunat seumpama seorang yang telah menunaikan satu fardu pada bulan-bulan yang lain dan sesiapa yang menunaikan satu fardu pada bulan itu seumpama seseorang yang menunaikan 70 fardu pada bulan-bulan lain.


Bulan itu adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah syurga. Bulan itu adalah bulan simpati, bulan yang ditambah rezeki kepada orang-orang yang beriman. Sesiapa yang memberi seseorang yang berpuasa untuk berbuka, maka pemberiannya itu merupakan pengampunan untuk dosa-dosanya dan kelepasan dirinya dari neraka dan dia mendapat ganjaran puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikit pun daripada ganjarannya.

Para Sahabat r.an. hum lalu berkata, “Bukanlah setiap di antara kami mempunyai sesuatu untuk diberi kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa”. Maka Rasulullah menjawab,”Allah memberikan pahala itu kepada sesiapa yang memberikan walaupun sebiji tamar atau seteguk air ataupun sesisip susu kepada orang yang berpuasa untuk berbuka.”

Bulan itu adalah satu bulan yang pada bahagian awalnya merupakan rahmat, pada pertengahannya merupakan keampunan dan pada akhirnya merupakan kelepasan daripada neraka. Sesiapa yang meringankan bebanan hamba-hambanya (pekerja-pekerjanya) pada bulan itu maka dia akan diampunkan oleh Allah dan akan dilepaskan daripada azab api neraka.


Perbanyakkanlah pada bulan ini empat perkara. Dua perkara yang kamu dapat meredhakan Tuhan kamu dan dua perkara lagi yang tidak boleh kamu perlukan. Ada pun dua perkara yang kamu dapat meredhakan Tuhan kamu dengannya adalah penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah (La Ilaha Illallah) dan kamu memohon istighfar daripada-Nya. Manakala dua perkara yang tidak boleh tidak kamu perlukan ialah memohon syurga daripada Allah dan meminta perlindungan daripada api neraka.

Sesiapa yang memberi minum kepada mana-mana orang yang berpuasa maka Allah akan memberinya minum dari telagaku (pada hari kiamat), dengan sekali minum, dia tidak akan dahaga lagi sehingga dia masuk ke dalam syurga”.


REBUT GANJARAN RAMADAN!

Apabila membaca hadith di atas, maka banyak yang boleh diambil pengajaran dan dapat mengghairahkan iman kita untuk merebut kelebihan-kelebihan Ramadan.

Semoga kita bersedia dan kita dapat merasakan betapa bernilainya pahala di sisi Allah. Anggaplah Ramadan kali ini adalah Ramadan yang terakhir untuk kita, semoga kita mengejarnya!
Para Sahabat menangis apabila Ramadan hampir habis, tetapi kita di akhir zaman ini lebih suka kerana Hari Raya hampir tiba! Mari kita sama-sama mengislahkan diri kita untuk mendapat manfaat dan redha Allah Subhanahu Wa Taa’la. Insya-Allah.


BULAN PENUH RAHMAT

“Bermulalah Satu Bulan Yang Istimewa
Yang Mendidik Rohani, Disiplin Diri,
Kerahmatan, Keampunan Dan Kelepasan,
Dari Azab Seksaan Api Neraka”

Teringat kembali semasa saya bersama kumpulan Az-Zafran (kumpulan nasyid SBPI Sabak Bernam) menyanyikan lagu ini. Setiap kali tiba Ramadan, kami pasti dijemput untuk mempersembahkan alunan nasyid di sekolah. Lirik inilah yang saya ingat sehingga sekarang, lirik yang menggambarkan kelebihan Ramadan.


Di awalnya rahmat, pertengahannya keampunan dari dosa, dan di akhirnya kelepasan dari azab neraka Allah Subhanahu Wataa’la. Betapa besarnya promosi yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-hamba-Nya yang kita sendiri tidak mampu mengejarnya.

Cuba fikirkan, siapakah yang sanggup memberi imbuhan yang berlipat ganda dengan hanya kerja yang sedikit? Jika manusia yang memberinya, nescaya manusia itu akan muflis. Tetapi Allah Yang Maha Kaya mampu memberikannya, bukan untuk kita seorang, tetapi untuk makhluk seluruh alam! Allahu Akbar!
Setiap perkara itu ada musimnya, dan musim beribadah adalah di bulan Ramadan. Selamat datang bulan beribadah!


BULAN MEMBELI-BELAH?

Kehadiran saya di bazar Ramadan pastinya tidak begitu istimewa kerana terdapat ramai lagi ‘VVIP’ yang turut hadir! Berbagai-bagai juadah dipamerkan untuk menarik minat pembeli termasuk saya. Juadah yang beraneka membuatkan saya pening dan tidak membeli apa-apa pun! Minta maaf kepada para penjual kerana saya tidak membeli apa-apa dari kalian.
Kisah ini tidak termasuk dengan jualan riang ria Hari Raya yang sedang berlangsung. Pastinya tidak lama lagi pusat jualan itu akan dipenuhi oleh manusia! Itu belum termasuk batang-batang buluh yang dijadikan lemang, jika anda pulang berhari raya, jangan lupa membeli lemang di tepi jalan. Sedap dan panas!
Selamat datang bulan membeli-belah!


BELI-BELAH VS IBADAH

Tidak salah untuk kita berbelanja dan membeli barangan keperluan yang baru. Walhal ianya dituntut syarak untuk mengenakan pakaian baru semasa hari lebaran. Tetapi janganlah terlalu berlebihan sehingga sanggup berhutang semata-mata mahukan yang serba baru. Ikutlah kemampuan kita ya.
Bulan Ramadan tiba hanya sekali. Para Sahabat Nabi menangis apabila tiba di penghujung Ramadan kerana promosi pahala akan tamat. Rebutlah peluang yang datang hanya sekali setiap tahun, kerana mungkin di tahun hadapan kita tidak dapat bertemu lagi di bulan yang mulia ini. Nauzubillah..


“Bila berbuka mahukan juadah,
Nampak lemang di tepi jalan,
Bulan Puasa membeli-belah,
Jangan lupa tingkatkan amalan”

Secara kesimpulannya, bulan Ramadan adalah bulan yang istimewa. Istimewa dari segi ibadah dan juadahnya. Hanya kita sahaja yang perlu memilih antara lebih kepada ibadah atau membeli-belah. Jadi, ibadah atau membeli-belah? Yang mana satu pilihan anda?


PUASA DULU BARU RAYA!!


Tiada ulasan: